Hotline PINTAS: 1-300-88-2572 Bantuan Aduan Pengguna »

Sejarah Penubuhan

Kerajaan negeri Kelantan telah mengambil keputusan untuk menswastakan pengurusan bekalan air di negeri Kelantan pada 25 Februari 1995. Kerajaan Negeri melalui Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) dengan Thames Water PLC telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama iaitu Kelantan Water (Malaysia) Sdn. Bhd. (KWSB) dengan pemilikan saham sebanyak 70% oleh Thames Water (Malaysia) Sdn. Bhd., dan 30% lagi oleh YAKIN. KWSB mengendalikan bekalan air sedia ada, perawatan air dan sistem pembekalan termasuklah mengeluarkan bil dan mengutip hasil dan memajukannya bagi memenuhi keperluan penduduk negeri Kelantan selama 25 Tahun.

Walau bagaimanapun, perjanjian PPBA telah dimansuhkan pada 29 April 1999 berikutan langkah Thames Water (Malaysia) Sdn. Bhd. menjual keseluruhan 70% sahamnya dalam KWSB kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Bermula pada 29 April 1999, Syarikat KWSB telah ditukar kepada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB). Pertukaran ini adalah disebabkan berlakunya pemilikan saham sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan sebanyak 100%. Akibat pembelian saham ini AKSB merupakan sebuah syarikat swasta yang bernaung di bawah kerajaan negeri Kelantan dan dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Terdapat sepuluh jajahan yang telah beroperasi di Kelantan iaitu termasuk jajahan Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Tumpat, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang. Bagi jajahan Kota Bharu ia telah dibahagikan kepada tiga zon iaitu Wilayah Utara, Timur dan Selatan.

Pihak AKSB bertanggungjawab dalam mengendalikan pengurusan pembekalan air di seluruh negeri Kelantan di samping rawatan air dan mengendalikan sistem pengagihan serta memastikan air yang dibekalkan oleh pihak AKSB adalah bersih dan terjamin dengan peningkatan kuantiti dan kualiti air yang akan digunakan oleh penduduk negeri Kelantan. AKSB juga turut mengendalikan pembayaran bil-bil air dan pemungutan hasil air di seluruh jajahan untuk rakyat negeri Kelantan. Selain itu AKSB juga mengendalikan 28 buah loji pembersihan air dan berupaya menghasilkan air sebanyak 230 juta liter air setiap hari untuk pelbagai kegunaan penduduk Kelantan.