Hotline PINTAS: 15777 Aduan Pengguna »
21 October 2021

HARI AIR SEDUNIA 2021

Hari Air Sedunia akan disambut pada 22 Mac 2021 dengan bertemakan ‘Menghargai Air’. Hari Air Sedunia disambut untuk menghargai sumber air dan meningkatkan kesedaran krisis air antarabangsa serta salah satu fokus utama dalam menyokong pencapaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Matlamat Pembangunan Lestari 6 : Air dan sanitasi untuk semua menjelang tahun 2030.

Hari Air Sedunia telah disambut sejak 22 Mac 1993. Idea penubuhan Hari Air Sedunia tercetus pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan 1992. Sambutan ini telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memfokuskan kepada kepentingan bekalan sumber air tawar. Melalui deklarasi ini, negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan meraikan dan melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan sumber air seperti mempromosikan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan air, seminar dan pameran yang berkaitan dengan pemuliharaan dan pembangunan sumber air.

Tema ‘Menghargai Air’ bukan sekadar terletak pada harga semata-mata. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, air mempunyai nilai yang sangat besar dan kompleks merangkumi kehidupan seharian. Selain itu, tema pada tahun ini berkisarkan mengenai erti air kepada manusia, kehidupan dan bagaimana cara untuk melindungi sumber yang penting ini. Air ialah sumber kehidupan yang merangkumi isi rumah, makanan, budaya, kesihatan, pendidikan, ekonomi, dan persekitaran semula jadi. Pengabaian salah satu daripada nilai-nilai ini akan meningkatkan risiko dalam salah urus sumber air.

Malaysia adalah salah satu negara yang kaya dengan sumber air. Purata jumlah taburan hujan di Malaysia adalah 80% setahun iaitu antara 2000mm hingga 2500mm. Jika dilihat, Malaysia tidak berpotensi untuk mengalami masalah kekurangan air. Bagaimanapun, hal ini berkemungkinan akan berlaku ekoran masalah pencemaran alam sekitar, kemusnahan kawasan tadahan air, pencemaran sungai, dan kemarau.  Selain itu, permintaan sumber air kian meningkat seiring dengan pertambahan populasi penduduk, pembangunan, dan sektor ekonomi.

Pada tahun 2019, rekod penggunaan air di Malaysia ialah sebanyak 17,763 juta liter sehari. Tiga negeri yang merekodkan penggunaan air yang tertinggi ialah Selangor (30.1%), Johor (12.4%), dan Perak (8.3%). Berdasarkan statistik daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), purata air yang digunakan bagi setiap penduduk ialah sebanyak 201 liter sehari iaitu bersamaan dengan 134 botol yang berkapasti 1.5 liter. Purata tersebut adalah bertentangan dengan saranan World Health Organization (WHO) yang menggariskan penggunaan air sebanyak 165 liter sehari.

Air adalah salah satu elemen yang penting dalam kehidupan. Tanpa air, aktiviti dan kehidupan seharian akan menjadi sukar dan tidak terurus. Bertepatan dengan konsep yang dibawa ‘Menghargai Air” sebagai salah satu usaha murni untuk mengekalkan dan menyelamatkan sumber air di negara kita bahkan di seluruh dunia.

“Dan Kami turunkan air daripada langit berupa hujan yang penuh dengan keberkatan dan manfaatnya sekaligus menyuburkan tanaman serta kebun dengan hasil yang lumayan yang dituai” – Surah Qaf, ayat 9