Hotline PINTAS: 15777 Aduan Pengguna »
24 September 2021

ELEKTRIK PUTUS PUNCA GANGGUAN BEKALAN AIR – HARAKAHDAILY 29/7/2021

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan gangguan bekalan air di kawasan Perumahan Taman Sri Machang disebabkan pemberhentian pam air mentah di medan telaga akibat terputus bekalan elektrik Jumaat lepas.

Katanya, kawasan itu menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong.

Menurutnya pengeluaran air terawat berkurangan sehingga menyebabkan kurang takungan air di tangki utama di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, tangki kubah dan tangki Machang.

“LRA Merbau Chondong membekalkan air terawat ke jajahan Machang, Pasir Puteh dan kawasan Kota Bharu selatan.

“Ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya selepas bekalan elektrik TNB disambung semula. Lagi pun Taman Sri Machang mempunyai 19 akaun terletak di kawasan lebih tinggi daripada paras paip air masuk ke tangki amboran.

“Bagi kawasan perumahan yang lokasinya lebih rendah dari tangki amboran akan pulih lebih cepat selepas gangguan bekalan air dipulihkan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Bagaimanapun bagi penyelesaian jangka masa pendek, AKSB menghantar air melalui lori tangki ke kawasan yang terkesan.

“Bekalan air terawat mula stabil pada malam Isnin dan semakin pulih. InsyaAllah persekitaran akan kembali normal dalam masa terdekat,” ujarnya.

Manakala masalah bekalan air di Taman Sri Kota, Kebakat pula pengguna menerima air terawat dari LRA Wakaf Bharu, Tumpat.

Namun telaga di LRA Wakaf Bharu mengalami penyusutan sumber air tanah sebanyak 4 juta liter sehari (JLH).

Kata AKSB pengeluaran air terawat dari LRA Wakaf Bharu menurun dan mengakibatkan berlaku gangguan bekalan air di kawasan tertentu terutamanya yang terletak di hujung agihan.

AKSB juga meningkatkan aktiviti penyelenggaraan telaga untuk meningkatkan kecekapan telaga.

Oleh itu bagi mengurangkan impak kepada pelanggan AKSB menempatkan tangki statik di kawasan yang dikenal pasti.

“AKSB menghantar air melalui lori air kontrak dan lori tangki air AKSB ke tangki statik dan pelanggan terbabit. AKSB memohon maaf di atas gangguan dan kesulitan dihadapi pelanggan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

Sumber : https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/29/elektrik-putus-punca-gangguan-bekalan-air/