Hotline PINTAS: 15777 Aduan Pengguna »
28 January 2022

Harian Metro : AKSB hantar bekalan air ke lima jajahan terjejas.

Kota Bharu: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke lima jajahan di negeri itu selepas mengalami gangguan yang dianggar menjejaskan kira-kira 200,000 penduduk.

Antara jajahan yang mengalami masalah air termasuk Kota Bharu Selatan, Machang, Tumpat dan Pasir Puteh.

AKSB dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menempatkan tangki statik di kawasan yang dikenal pasti dan akan memastikan ia (tangki) sentiasa mempunyai air untuk kegunaan pelanggan.

Katanya, pihaknya juga menghantar air melalui lori air kontrak (LAK) dan lori tangki air (tanker) AKSB ke tangki statik dan pelanggan AKSB yang terbabit.

“Masalah air di kawasan Perumahan Taman Sri Machang yang menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong disebabkan oleh pemberhentian pam air mentah di medan telaga ekoran bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus, Jumaat lalu.

“Akibatnya pengeluaran air terawat berkurangan dan menyebabkan kurangnya takungan air di tangki utama di LRA Merbau Chondong, Tangki Kubah dan Tangki Machang.

“LRA Merbau Chondong membekalkan air terawat ke jajahan Machang, Pasir Puteh dan kawasan Kota Bharu Selatan. Ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya selepas bekalan eletrik TNB disambung balik,” katanya.

Kenyataan itu berkata, terdapat 19 akaun pelanggan yang terletak di kawasan lebih tinggi dari paras paip air masuk ke Tangki Amboran di Taman Sri Machang dan mudah terkesan apabila pengeluaran LRA Merbau Chondong menurun.

Menurutnya, kawasan perumahan yang lokasinya lebih rendah dari Tangki Amboran, akan pulih lebih cepat selepas gangguan bekalan air pulih.

“Bagi penyelesaian jangka masa pendek, AKSB menghantar air melalui lori tangki ke kawasan yang terkesan.

“Bekalan air terawat mula stabil pada Isnin dan semakin pulih. Insya-Allah persekitaran akan kembali normal dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, penyusutan sumber air tanah sebanyak 4 juta liter sehari (JLH) di telaga LRA Wakaf Bharu menyebabkan gangguan bekalan air di Taman Sri Kota, Kebakat, Morak terutamanya yang terletak di hujung sistem agihan.

Katanya, AKSB melakukan penyelenggaraan telaga bagi meningkatkan pengepaman air mentah dan kecekapan telaga.

“AKSB memohon maaf di atas gangguan dan kesulitan kepada semua pelanggan yang terbabit dan usaha-usaha dibuat untuk menangani masalah luar jangka di masa akan datang.

Media semalam melaporkan, lima jajahan atau separuh daripada negeri ini yang membabitkan kira-kira 200,000 penduduk berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlarutan hingga lima hari sejak Khamis lalu.

Gangguan dalam tempoh 24 hingga 72 jam itu turut dialami oleh pengguna di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Paling kritikal di Tumpat apabila 15,334 akaun pengguna yang mengalami gangguan air.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/736098/aksb-hantar-bekalan-air-ke-lima-jajahan-terjejas