Hotline PINTAS: 15777 Aduan Pengguna »
24 September 2021

BANTUAN SATU BUAH LORI TANGKI AKSB KE TERENGGANU PADA 4 OGOS 2021.

KUALA TERENGGANU: Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lalu dijangka berlarutan dalam tempoh tujuh hari lagi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi jaminan semua penduduk di kawasan yang terjejas itu akan tetap mendapat bekalan air bersih melalui beberapa inisiatif yang disediakan menjelang kerja pembaikan siap pada Rabu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, berkata sebanyak 20 unit lori tangki disediakan dengan bantuan daripada operator negeri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Antaranya Pengurusan Air Pahang Berhad, Air Kelantan Sdn Bhd, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Johor, Syarikat Air Darul Aman dan Syarikat Air Negeri Sembilan yang akan meneruskan bantuan penghantaran air ke kawasan terjejas sehingga krisis ini selesai.

“Selain itu, sebanyak 66 tangki statik juga disediakan bagi memudahkan pengguna untuk mengambil bekalan air dari semasa ke semasa manakala tambahan 34 tangki lagi akan ditempatkan secara berperingkat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Lembaga Pengarah SATU Dr Burhanuddin Helmi Mohamed dan Pengarah Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Azrul Raimee Ramli.

Dr Mamad berkata krisis gangguan bekalan air kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di Terengganu membabitkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri serta 104 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ia juga adalah kerosakan pam yang pertama berlaku di dasar sungai Terengganu.

Terdahulu, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) memaklumkan bahawa krisis gangguan bekalan air itu adalah disebabkan pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu pada awal pagi Isnin lalu.

Tempoh pembaikan agak rumit dan memerlukan kontraktor berpengalaman serta berkepakaran tinggi untuk membaikinya. Sehingga kini, khidmat 10 penyelam telah digunakan dan kerja pembaikan berterusan selama 24 jam.

Antara kawasan terbabit di Kuala Nerus ialah Bukit Jong, Maras, Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Di Kuala Terengganu pula, kawasan yang terjejas ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Teluk Menara dan Jeram.

Ditanya sama ada kerosakan pam itu berpunca daripada aktiviti mengorek pasir sungai Terengganu yang dijalankan sebuah syarikat, Dr Mamad berkata siasatan sedang dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Tanah dan Galian Terengganu.

“Berdasarkan maklumat awal, memang ada hakisan di bawah paip yang menyebabkan wujudnya ‘kawah’ sedalam 10 meter. Siasatan akan dijalankan menggunakan sonar untuk mengenal pasti sama ada ‘kawah’ itu juga wujud di tempat lain bagi mengelak masalah sama berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mamad berkata kerja-kerja menutup paip yang pecah dengan menggunakan kaedah clamp diharap berjalan lancar untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan mengikut jadual kerja yang dirancang.

“Selain itu, SATU juga akan memulakan operasi Loji Bukit Berapit di bawah Projek Kuala Terengganu Utara dengan keupayaan mengeluarkan 50 juta liter sehari (MLD) dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya. – BERNAMA

Sumber  : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/08/847676/krisis-air-di-kuala-nerus-kt-dijangka-berlarutan-7-hari-lagi

: https://www.trdi.my/tujuh-syarikat-air-negeri-bantu-krisis-air-kuala-nerus