Hotline PINTAS: 15777 Aduan Pengguna »
24 September 2021

NAIK TARAF LRA TAMPUNG MASALAH BEKALAN AIR [METROTV]

Kota Bharu: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam perancangan untuk menaik taraf loji rawatan air (LRA) sedia ada di sempadan negeri ini dan Terengganu bagi memastikan bekalan sumber air mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan untuk membina LRA baharu.

Katanya, pihaknya optimis dengan penerokaan LRA sedia ada yang bukan sahaja dapat berkongsi air terawat, tetapi boleh dimanfaatkan antara dua negeri.

“Sebagai contoh, KASA dalam perbincangan dengan kerajaan Terengganu dan Kelantan untuk meneroka potensi LRA sedia ada di kawasan sempadan seperti di Besut yang boleh menyalurkan bekalan air ke jajahan Pasir Puteh.

“Diharapkan usaha yang dilakukan ini dapat menyelesaikan masalah sumber air, malah pihak kementerian akan sentiasa berbincang dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas melawat projek binaan LRA Kampung Telok, Panji, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, sebanyak 15,000 akaun pengguna membabitkan jajahan Kota Bharu dan Bachok menerima manfaat sumber air hasil pembinaan LRA Kampung Telok yang dijangka siap sepenuhnya pada November ini.

“Pembinaan LRA berkenaan membabitkan peruntukan bernilai RM46 juta dengan keupayaan kapasiti air sebanyak 32 juta liter sehari (JLH) sekali gus menyelesaikan masalah air yang ditampung di LRA Chicha berdekatan kawasan Bachok.

“Selain itu, terdapat satu lagi loji dalam pembinaan iaitu LRA Teluk Masira, di sini, yang dijangka siap sama tempoh dengan loji ini.

“Apabila kesemua loji ini dapat disiapkan, insya-Allah masalah rakyat membabitkan bekalan air di Kelantan dapat diselesaikan sepenuhnya, malah saya juga dimaklumkan pihak kontraktor yakin ia dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

SUMBER :