Hotline PINTAS: 15777 Aduan Pengguna »
25 September 2022

Kelantan beri air percuma untuk bil bawah RM30 sepanjang Ramadan

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan memberikan air percuma kepada semua pengguna Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang menggunakan perkhidmatan itu dengan bil mereka tidak melebihi RM30 sepanjang Ramadan ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, tawaran itu melibatkan sebanyak 146,660 akaun pengguna dengan kos sebanyak RM3 juta.

“Mereka yang mempunyai bil air tidak lebih RM30 akan dikecualikan daripada bayaran sepanjang bulan puasa.

“Pengecualian bayaran ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim meminta kerajaan negeri memberi potongan sebanyak 50 peratus kepada pengguna air di negeri ini.

Mohd. Syahbuddin mengemukakan cadangan tersebut selepas mengambil kira kesusahan dihadapi rakyat kerana perkhidmatan air yang kerap terganggu kebelakangan ini. – KOSMO! ONLINE

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2022/03/31/kelantan-beri-air-percuma-untuk-bil-bawah-rm30-sepanjang-ramadan/