AKSB TELAH MENANGANI ISU ADUAN KUALITI AIR DI KANTIN SMK MACHANG
Isu berkaitan masalah kualiti air di kantin SMK Machang telah ditular melalui satu akaun Facebook awam di Machang pada 5 Ogos 2023 yang lalu. Selain itu, AKSB turut menerima aduan yang sama daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Cawangan Kelantan.
Semakan AKSB mendapati masalah kualiti air di kantin sekolah berpunca daripada keladak lama yang berada di dalam paip agihan air ke kantin yang agak lama tidak digunakan/ tiada pengaliran air. Difahamkan pengusaha kantin menggunakan sumber air ‘boring’ untuk urusan harian dan telah mengambil keputusan menggunakan sumber AKSB. Apabila paip dibuka, pengaliran keladak lama turut melalui sistem paip. Manakala pihak sekolah sendiri menggunakan sumber air AKSB untuk kegunaan di semua blok dan tiada isu Kualiti air berlaku.
Selain itu, semakan AKSB mendapati sistem paip retikulasi ke kantin sekolah masih menggunakan paip jenis GI yang berusia dan uzur. Justeru, untuk mengatasi masalah kualiti tersebut, kerja-kerja segera flushing telah dilakukan di stand meter dan semua sisa keladak telah dialir keluar dan bekalan air telah kembali stabil.
AKSB telah mengambil tindakan yang sewajarnya menangani aduan ini sejak 5 Ogos lalu. Tindakan di tapak telah diambil dengan proaktif dan laporan kepada pihak Suruhanjaya SPAN turut dikemukakan.
Namun begitu, perkara yang sama masih ditular oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada 24 Ogos 2023 dengan niat yang tidak baik terhadap AKSB. Namun begitu, AKSB masih meneruskan pemantauan tahap kualiti air di kantin tersebut dari semasa ke semasa dan mendapati bekalan kualiti air telah kembali normal dan stabil.
Diharapkan perkara ini tidak lagi ditular oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan anasir-anasir yang tidak baik.