Hotline PINTAS: 1-300-88-2572 Aduan Pengguna »

KESALAHAN-KESALAHAN DI BAWAH AKTA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR 2006

KESALAHAN MENCEMARI AIR

Seksyen 121 – (1) Seseorang yang mencemarkan atau menyebabkan supaya dicemarkan mana-mana alur air atau sistem bekalan air atau mana-mana bahagian alur air itu dengan apa-apa bahan –

dengan niat untuk menyebabkan kematian;

dengan pengetahuan bahawa dia berkemungkinan menyebabkan kematian ; atau

yang berkemungkinan akan membahayakan nyawa mana-mana orang,

melakukan suatu kesalahan.

(2) Seseorang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah subseksyen (1), apabila disabitkan-

(a) jika kematian adalah akibat perbuatan itu, hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh yang boleh berlanjutan sehingga dua puluh tahun, dan jika hukuman itu bukan hukuman mati, dia boleh juga dikenakan sebatan;

(b) jika kematian bukan akibat perbuatan itu tetapi bahan yang digunakan untuk mencemarkan alur air atau sistem bekalan air itu atau mana-mana bahagian alur air atau system bekalan air itu adalah bahan radioaktif atau toksik,boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau disebat atau ketiga-tiganya;atau

(c) dalam apa-apa kes lain, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(3) Tidak menjadi suatu pembelaan bagi orang yang dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah seksyen ini bahawa pemegang lesen yang memiliki sistem bekalan air itu atau yang menyediakan perkhidmatan bekalan air itu tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memberhentikan bekalan air sebaik sahaja pemegang lesen itu menyedari bahawa alur air atau sistem bekalan air itu telah tercemar.

PERBUATAN SALAH

Seksyen 122 (1)- Seseorang yang-

dengan sengaja, cuai atau melulu merosakkan atau menyebabkan supaya dirosakkan apa-apa paip, saluran, pembuluh atau struktur , pembetung, lurang, kebuk , lekapan , kelengkapan, takungan, tangki, pam, pili, injap, meter, submeter atau mana-mana bahagian daripada mana-mana sistem bekalan air awam atau sistem pembetungan awam;

mengumbah, mengangkut, mengubah haluan atau mengambil air dari mana-mana sistem bekalan air awam atau mana-mana bahagian sistem itu, melainkanjika orang itu dibenarkan selainnya di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain;

mandi, membuang sisa atau membuang apa-apa sampah atau makhluk, yang mati atau hidup, ke dalam mana-mana sistem bekalan air awam atau mana-mana bahagian sistem itu; atau

menceroboh mana-mana kawasan takungan perkhidmatan atau stesen penggalak bagi sesuatu sistem bekalan air awam atau mana-mana kawasan stesen pengepam kumbahan atau tempat rawatan kumbahan bagi sesuatu sistem pembetungan awam,

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan , didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(2) Seseorang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah perenggan (1) (a) boleh dikehendaki membayar pampasan bagi kerosakan itu dan pampasan itu hendaklah didapatkan daripada orang itu oleh pemegang lesen mengikut cara yang diperuntukkan di bawah seksyen 88.

SAMBUNGAN BEKALAN AIR YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG

123 (1) Tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

(2) Jika suatu paip air perkhidmatan ke mana-mana premis telah disambungkan dengan menyalahi undang-undang ke sesalur utama awam atau ke paip air perkhidmatan lain yang memberikan perkhidmatan ke premis lain, maka hendaklah dianggap sehingga sebaliknya dibuktikan bahawa sambungan yang menyalahi undang-undang itu telah dibuat oleh pemilik atau penghuni premis yang mula-mula disebut itu.

(3) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalan dan boleh, apabila disabitkan , didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

MENGGANGGU METER ATAU SUBMETER

Seksyen 124 Seseorang yang mengganggu suatu meter atau submeter atau menyebabkan gangguan kepada suatu meter atau submeter yang digunakan bagi menyukat air yang dibekalkan ke mana-mana premis dengan suatu cara yang menyebabkan meter atau submeter itu menunjukkan bacaan yang tidak betul melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan , didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

MENGGANGGU SISTEM BEKALAN AIR ATAU SISTEM PEMBETUNGAN ATAU SEBAHAGIAN DARIPADA SISTEM ITU

Seksyen 125 Seseorang yang mengganggu apa-apa paip, saluran, pembuluh atau struktur, pembetung luring, kebuk, lekapan dan kelengkapan, termasuk apa-apa injap, pili atau mana-mana bahagian suatu sistem bekalan air atau sistem pembetungan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

MENGAMBIL AIR DARI PILI BOMBA

Seksyen 126 (1) Tiada seorang pun selain orang yang disebut dalam subseksyen 42(1) boleh mengambil air dari suatu pili bomba.

(2) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan , didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Penalti kerana menghalang

127. seseorang yang pada bila-bila masa-

menggalang atau menghalang pemegang lesen atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Suruhanjaya di bawah Akta ini atau mana-mana pegawai, pekerja, ejen atau kontraktor pemegang lesen atau Suruhanjaya dalam penjalanan dan pelaksanaan kewajipannya atau apa-apa jua yang pemegang lesen atau Suruhanjaya masing-masingnya di beri kuasa atau dikehendaki membuatnya menurut kuasa atau berikutan dengan Akta ini; atau

mengalihkan apa-apa tanda yang diletakkan bagi maksud menunjukkan apa-apa aras atau arah yang perlu bagi pelaksanaan kerja yang dibenarkan oleh Akta ini atau perundangan subsidiarinya,

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan ataukedua-duanya.

Prosiding jika penghuni membantah pelaksanaan kerja

128. (1) Jika penghuni mana-mana premis menghalang pemilik atau perbadanan pengurusan premis itu daripada menguatkuasakan mana-mana peruntukan Akta ini atau perundangan subsidiarinya berkenaan dengan premis itu selepas notis mengenai niat pemilik atau perbadanan pengurusan itu untuk berbuat demikian telah diberikan oleh pemilik atau perbadanan pengurusan itu kepada penghuni itu, Mahkamah Majistret, atas bukti mengenainya dan atas permohonan pemilik atau perbadanan pengurusan itu, boleh membuat suatu perintah untuk menghendaki penghuni itu membenarkan pemilik atau perbadanan pengurusan itu untuk melaksanakan segala kerja sedemikian berkenaan dengan premis itu yang perlu bagi menguatkuasakan peruntukan Akta ini atau perundangan subsidiarinya dan boleh juga, jika difikirkannya patut, memerintahkan supaya penghuni itu membayar kos yang berhubungan dengan permohonan atau perintah itu kepada pemilik atau perbadanan pengurusan itu.

(2) Penghuni mana-mana premis yang, selepas tamat tempoh lapan hari dari tarikh suatu perintah dibuat di bawah subseksyen (1), terus enggan untuk membenarkan pemilik atau perbadanan pengurusan premis itu melaksanakan kerja yang dinyatakan dalam perintah itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, dan pemilik atau perbadanan pengurusan itu hendaklah, semasa keengganan penghuni itu berterusan, dilepaskan daripada apa-apa penalti yang selainnya mungkin boleh dikenakan keatas pemilik atau perbadanan pengurusan itu oleh sebab keingkarannya dalam melaksanakan kerja itu.

PENGGUNAAN ATAU PEMBEKALAN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG KELENGKAPAN, PERANTI, BAHAN , SISTEM ATAU KEMUDAHAN YANG TIDAK STANDARD

129 (1) Seseorang yang menggunakan atau membekalkan apa-apa kelengkapan, peranti, bahan, sistem atau kemudahan yang tidak standard yang diketahuinya atau yang dia mempunyai alas an untuk mempercayai adalah kelengkapan, peranti,bahan, sistem atau kemudahan yang tidak standard untuk digunakan bagi tujuan memasang, menjalankan atau mengendalikan kelengkapan, peranti, bahan, sistem atau kemudahan itu melakukan suatu kesalahan dan boleh , apabila disabitkan , didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(2) Dalam mana-mana prosiding di bawah Akta ini atau perundangan subsidiarinya, apa-apa dokumen yang berupa suatu perakuan yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa yang memperakukan bahawa mana-mana kelengkapan, peranti atau bahan tertentu adalah suatu kelengkapan, peranti atau bahan yang tidak standard hendaklah boleh diterima sebagai keterangan prima facie tentang fakta yang dinyatakan di dalamnya sehingga dibuktikan sebaliknya.

KESALAHAN KERANA MEMBERIKAN MAKLUMAT PALSU ATAU MENGELIRUKAN

Seksyen 130 Seseorang yang menzahirkan atau memberikan maklumat kepada Suruhanjaya atau Pegawai diberikuasanya yang diketahuinya atau yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai adalah palsu atau mengelirukan melakukan suatu kesalahan dan boleh,apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

KUASA UNTUK MENGAMBIL TINDAKAN

Seksyen 131 Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh menghalang atau dianggap boleh menghalang pemegang lesen daripada memulakan apa-apa tindakan atau guaman terhadap mana-mana orang bagi kerosakan yang disebabkan kepada mana-mana sistem bekalan air atau sistem pembetungan atau mana-mana bahagian sistem itu , atau menghalang mana-mana orang daripada didakwa atas suatu kesalahan berkenaan dengan mana-mana sistem bekalan air atau sistem pembetungan atau mana-mana bahagian system itu yang berada di bawah kawalan atau pengurusan pemegang lesen.