

KOTA BHARU – Seorang pemilik kilang ais terkenal di Kelantan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan sambungan air secara haram bagi tujuan operasi pemprosesan ais batu di premisnya.
Hakim, Nik Habri Muhamad mengenakan denda itu terhadap tertuduh, Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Nik Habri menegaskan kesalahan mencuri air adalah serius dan perlu dijadikan pengajaran kepada pengusaha lain.
“Ini syarikat besar, tak ada sebab untuk tidak membayar bil air.
“Hukuman ini sebagai amaran agar perbuatan seperti ini tidak berulang,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Yusrid didakwa sebagai penghuni di tapak kilang tersebut, secara menyalahi undang-undang membuat sambungan ke paip air perkhidmatan tanpa kebenaran daripada pemegang lesen iaitu syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini pada 7 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan pihak AKSB menemui satu sambungan haram menggunakan paip polietilena berdensiti tinggi bersaiz 32 milimeter yang ditanam di bawah lapisan konkrit.
Sambungan itu menyalurkan air terawat ke dua buah tangki simpanan iaitu di luar premis dan di dalam bangunan yang menjadi sumber utama pemprosesan ais batu.
Lebih lanjut…
Berita Harian : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/11/1472724/pemilik-kilang-ais-didenda-rm50000-mengaku-salah-17-bulan-curi-air-aksb
Sinar Harian : https://www.sinarharian.com.my/article/756961/edisi/kelantan/pemilik-kilang-ais-terkenal-kelantan-curi-air-didenda-rm50000