Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) turut menghulurkan bantuan bekalan air kepada Ranhill SAJ, Johor susulan krisis gangguan bekalan air yang berlaku di negeri tersebut.
Bantuan ini dilaksanakan di bawah Memorandum Persefahaman (MOU) Kerjasama Antara Operator Air yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak tahun 2022, bertujuan memberi bantuan segera kepada operator air negeri yang berhadapan dengan krisis bekalan air.
Gangguan bekalan air di Negeri Johor berlaku akibat kemerosotan paras sumber air mentah secara mendadak di Empangan Machap, yang telah menjejaskan bekalan air kepada 31,081 akaun pengguna di daerah Kluang dan Pontian.
Sehubungan itu, AKSB telah menggerakkan dua (2) buah lori tangki air berserta empat (4) orang kakitangan ke Negeri Johor pada 9 Februari 2026 bagi membantu operasi pembekalan air di kawasan terjejas.
Kerjasama sukarela dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara operator air seluruh negara ini telah dilaksanakan secara berterusan. Apabila Negeri Kelantan khususnya AKSB berhadapan dengan krisis bekalan air yang kritikal, operator air dari negeri lain juga turut tampil menghulurkan bantuan.
Kerjasama antara operator air ini mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan saling membantu, demi memastikan kebajikan pengguna sentiasa diutamakan.
