Hotline PINTAS: 1-300-88-2572 Aduan Pengguna »

Sejarah Penubuhan

Makmal Pusat Air Kelantan mula beroperasi pada Mac 1996 dengan kos kapital sebanyak RM 450,000 dan terletak di tingkat atas bangunan pentadbiran Loji Rawatan Air Kampun Puteh, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan. Idea penubuhan asal dicetuskan oleh perunding dari syarikat Thames Water London pada tahun 1995. Pihak perunding berpendapat keperluan untuk mengadakan sebuah makmal dalaman bagi menguji mutu air mentah dan air minum secara berjadual. Oleh itu fungsi utama penubuhan Makmal Pusat Air Kelantan adalah untuk menjalankan aktiviti pemantauan kualiti air di loji (end product) dan sistem agihan.

Pihak makmal pusat akan memberikan khidmat nasihat teknikal kepada pihak pengurusan demi memastikan kualiti bekalan air yang disalurkan kepada pengguna mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Aktiviti persampelan dan penganalisaan ke atas semua sampel air dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak KKM. Terdapat dua bilik makmal di sini iaitu makmal mikrobiologi dan makmal analitikal.

Makmal Pusat Air Kelantan (MPAK) kini dalam proses untuk memperolehi sijil akreditasi, MS ISO/IEC 17025:2005 daripada pihak Jabatan Standard Malaysia dan dijangka memperolehinya pada pertengahan tahun 2015. Tujuan utama pengakreditasian makmal ini adalah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Jabatan Standard Malaysia serta memenuhi keperluan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengadakan sebuah makmal yang diluluskan (approved laboratories).